Sunday, December 5, 2010

Adakah Cinta Akan Berakhir Dengan Perkahwinan?

بسم الله الرحمن الرحيم

Cinta adalah anugerah Allah s.w.t. Cinta boleh membawa kepada kebaikan seperti kebahagiaan, kemanisan, pengorbanan dan ketaatan dan mampu bertukar kepada keburukan seperti kebencian, penyesalan, kecemburuan melampau, pembunuhan dan kemaksiatan. 

Ada yang mengatakan bahawa cinta sangat sinonim dengan remaja. Benarkah zaman remaja masa bermulanya episod cinta dan kecundang kerananya? Jika benar, mungkin kerana zaman ini merupakan proses peralihan dan perubahan ke arah pembentukan kematangan dan berfikiran rasional. Jika benar proses yang dilalui itu, maka terbentuklah kematangan yang sejati. Jika tidak, maka sebaliknya akan berlaku. 

Ada persoalan adakah cinta akan berakhir dengan perkahwinan? Bagi mengenal pasti perkara ini mari kita lihat jenis-jenis cinta: 

Jenis - Jenis Cinta berdasarkan Teori Berbeza
  • Pendapat Psikologis Elaine Hatfield dan rakan - rakannya tentang 2 jenis cinta asas: 
1. Cinta berunsur belas kasihan (compassionate love).
- Cinta bercirikan hormat menghormati, sangkutan, kasih sayang dan mempercayai. Cinta ini selalunya berkembang daripada perasaan saling memahami yang sejati dan menghormati antara satu sama lain. 

2. Cinta berunsur keghairahan (passionate love).
- Cinta bercirikan emosi, tarikan seksual, kebimbangan dan kasih sayang. Jika emosi - emosi ini selaras, maka orang akan merasa gembira. Jika tidak, maka individu akan berdukacita. Ahli psikologi berkenaan mencadangkan bahawa cinta berunsur keghairahan bersifat sementara, selalunya bertahan selama 6 hingga 30 bulan sahaja. 
Cinta ini muncul apabila budaya menggalakan orang bercinta. Contohnya apabila berjumpa dengan seseorang yang mempunyai ciri - ciri yang diingini dan apabila mengalami rangsangan fisiologi yang hebat (degupan jantung kuat, tidak dapat berfikir rasional) dengan kehadiran individu. 

Idealnya adalah apabila cinta berunsur keghairahan membawa kepada cinta belas kasihan yang mana dapat bertahan lama. Walaupun kita inginkan gabungan antara keselamatan dan kestabilan cinta berunsur belas kasihan dengan kehangatan cinta keghairahan namun Hatfield berpendapat ia adalah agak sukar untuk diperoleh. 

  • Triangular Theory of Love. 
Psikologis Robert Sternberg pula mencadangkan teori cinta tiga segi yang mencadangkan 3 komponen cinta: intimasi, keghairahan dan komitmen. Kombinasi berbeza ini akan menghasilkan jenis cinta yang berbeza.

Contohnya kombinasi intimasi dan komitmen akan menghasilkan cinta berunsur belas kasihan, manakala kombinasi keghairahan  dan intimasi akan menjurus kepada cinta berunsur keghairahan seperti yang telah dicadangkan oleh Hatfield. 

Menurut Sternberg, hubungan yang dibentuk berasaskan dua atau lebih elemen lebih bertahan lama berbanding dengan hubungan yang berasaskan satu komponen. Sternberg menambah satu lagi komponen iaitu consummate love untuk menerangkan tentang kombinasi ketiga-tiga komponen intimasi, keghairahan dan komitmen. Cinta jenis ini adalah jenis cinta yang paling kuat dan bertahan lama. Tetapi seperti mana yang dicadangkan oleh Hatfield, Sternberg juga bersetuju bahawa cinta jenis ini sukar diperoleh. 

Triangular Theory of Love.


  • The Color Wheel Model of Love
The Color Wheel Model of Love dicadangkan oleh John Lee, dalam tahun 1973, dalam bukunya bertajuk, The Colors of Love. Beliau membandingkan gaya cinta dengan warna. Oleh kerana terdapat 3 warna primer, maka Lee mencadangkan bahawa terdapat 3 gaya cinta primer. Beliau menamakannya sebagai (1) Eros, (2) Ludos, and (3) Storge. 

Berasaskan analogi warna, Lee seterusnya mencadangkan bahawa gaya cinta primer ini boleh dikombinasi untuk menghasilkan gaya cinta sekunder yang berbeza.

Gaya cinta yang dikemukakan oleh Lee adalah seperti berikut: 

3 gaya cinta primer: 

1. Eros - cinta romantis (ciri-ciri seks)
2. Ludos - cinta permainan (penting diri sendiri)
3. Storge - cinta kawan karib (persahabatan)

3 gaya cinta sekunder: 

1. Mania ( Eros + Ludos ) - cinta kepunyaan ( objek cinta sebagai hak milik )
2. Pragma ( Ludos + Storge ) - cinta logikal ( Cinta Realistik atau praktikal )
3. Agape ( Eros + Storge ) - cinta pengorbanan ( rela tanpa syarat )

Menurut kajian, cinta logikal berkemungkinan besar akan membawa ke gerbang perkahwinan. Manakala jenis-jenis cinta yang lain hanya akan merosakkan diri sendiri. Cinta romantis (ciri-ciri seks), cinta pengorbanan (rela tanpa syarat), cinta kepunyaan (objek cinta sebagai hak milik) dan cinta permainan (penting diri sendiri) membawa kepada kemusnahan. Cinta yang bermanfaat adalah hanya cinta kawan karib (persahabatan) dan cinta logikal (praktikal dan realistik). 

Sebab-sebab orang berkahwin.

-kita sudah tahu bahawa bukan semua cinta akan berakhir dengan perkahwinan. Begitu juga orang berkahwin kerana banyak sebab lain selain cinta. Ada yang berkahwin kerana mengikut suruhan ibu bapa. Ada juga kerana ingin tahu, mengelak daripada keseorangan, untuk mendapat kedudukan sosial atau semata-mata kerana mereka inginkan perubahan. Ada pula yang berkahwin kerana kecantikan fizikal, kecerdikan, simpati atau kasihan kerana individu itu kesunyian dan tidak berdaya. Tidak kurang juga yang berkahwin kerana pasangan mereka adalah orang baik, suci dan beriman. Ada juga yang berkahwin semata-mata inginkan teman atau memperoleh anak-anak yang akan mewarisi nama keluarga, anak-anak yang akan menjaga apabila mereka tua nanti. Malah di zaman ini ada yang berkahwin kerana inginkan harta, kedudukan, wang dan akhirnya untuk keseronokan. 

Jika mengikut pendapat ahli-ahli psikologi perkahwinan yang ideal adalah berasaskan hubungan spiritual, yang mana pasangan memenuhi ideal spiritual dengan sempurna. Perkahwinan memerlukan keharmonian kualiti mental, hubungan spiritual dan akhirnya keharmonian fizikal. Bagi ahli psikologi kesemua elemen ini perlu ada. Pada pendapat mereka rumah tangga gagal kerana tidak sesuai secara fizikal dan tidak harmoni dari segi fizikal. Bagi mereka kebanyakkan orang perlukan panduan bagaimana ingin menyesuaikan elemen-elemen fizikal, mental dan spiritual semasa memasuki ambang perkahwinan. Apa yang selalu berlaku adalah kehebatan cinta membutakan kebanyakan sehingga mereka tidak nampak keseriusan tanggungjawap dalam berumahtangga. 

Kesimpulan.

-Cinta memang perlu dalam perkahwinan. Tetapi yang diharuskan dalam Islam adalah cinta selepas kahwin bukannya sebelum kahwin. Namun pada hari ini cinta telah hilang signifikan spiritualnya kerana aspek material menguasai. Orang bercakap tentang cinta seolah-olah ia adalah realiti material tanpa melibatkan emosi dan dikawal oleh mereka. Tapi kita jangan lupa bahawa cinta adalah anugerah Allah dan ia mampu menjadi daya penggerak kepada manusia, sehinggakan boleh menghasilkan pelbagai jenis pengorbanan. Seperti mana ada orang berkata, lautan api sanggup direnangi demi kerana cinta. 


Asmawati Desa Dr., (2010, October 10). Adakah Cinta Akan Berakhir Dengan Perkahwinan?. Haluan, Edisi 3, 35–36.

* menarik. dan rasa ingin share. hehe.

No comments:

Post a Comment